Salam sejahtera.
Bahasa Inggeris (BI) memainkan peranan yang penting dalam komunikasi seharian terutamanya bagi mereka yang bekerja di sektor swasta. Di negara kita, BI adalah bahasa kedua dan boleh dikatakan semua graduan universiti boleh berkomunikasi dengan baik dalam BI.
Malah, dalam suatu bancian baru baru ini, Malaysia dikatakan negara kedua paling fasih dalam penggunaan BI di Asia! Ini satu pengiktirafan yang begitu baik untuk kita. Tempat pertama diduduki oleh Singapura.
Terdapat beberapa faktor yang mendorong kejayaan menguasai sesuatu bahasa seperti yang tertera dalam visual ini. Dorongan dan sokongan dari rakan sekerja amat penting dalam hal ini.
Dalam pengalaman saya mengajar BI di syarikat-syarikat korporat, penghalang utama untuk berkomunikasi dalam BI adalah kekurangan keyakinan diri atau low self confidence. Ramai peserta agak malu bertutur dalam BI kerana bimbang akan buat kesilapan. Nasihat saya, kita cuba sedaya kita. Kalau salah, tak apa. Kita betulkan sahaja. No problem at all!
Ini adalah perbezaan paling utama dalam pembelajaran bahasa kedua antara orang dewasa dan kanak-kanak. Kalau kanak-kanak, mereka tak hiraukan sangat kalau buat kesilapan. Manakala, orang dewasa pula lebih sensitif dalam hal ini.
Dalam pengalaman saya belajar bahasa Mandarin, agak gementar juga bertutur – takut orang tak faham maksud kita, takut sebutan kita tak betul dan sebagainya. Tapi, kita tak boleh biarkan faktor ini jadi penghalang kita. Yang penting, kita belajar dari kesilapan kita dan suatu hari nanti akan fasih berbicara dalam bahasa tersebut.
Saya difahamkan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg amat fasih dalam bahasa Mandarin. Dalam masa 2 tahun sahaja, beliau dapat menguasai bahasa Mandarin sampai dapat mengadakan dialog dengan mahasiswa-mahasiswi dibeberapa universiti di Beijing!
Untuk berjaya menguasai sesuatu bahasa, perlu ada praktis. Cubalah sedaya yang boleh untuk menggunakan bahasa tersebut semasa perbualan di pejabat. Kalau salah – tak apa! Kita belajar dan betulkan diri kita. Bak kata orang, “we learn from mistakes”.
Bahan bacaan dalam BI memang banyak di internet. Saya memang galakkan peserta-peserta saya membaca artikel yang menarik ikut tajuk kesukaan masing-masing. Samada anda suka tajuk IT, masakan, pengurusan, falsafah, cerpen, sukan, gaming dan sebagainya – semuanya terdapat dengan banyak di internet.
Ada juga peserta yang suka menonton rancangan di tv atau filem, mendengar lagu-lagu BI, membaca akhbar harian termasuk online dalam BI, menonton TED talk di youtube dan sebagainya.
Jika saudara saudari sudi berkongsi tip untuk menguasai BI, sila kongsi bersama.